Friday, May 20, 2011

Mengapa Orang Melayu Berhutang Budi Kepada Sultan Azlan Shah

Demikian Artikel 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memaktubkan kuasa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Ketika ramai rakyat jelata baginda telah dilalaikan oleh tipu daya dan kelicikan musuh, bak yang di dalam mahupun di luar, baginda telah membulatkan tekad keputusan untuk menjulang ketuanan agama dan bangsa.
Inilah yang dinamakan pendirian, dan pendirian inilah yang sepatutnya dihormati oleh semua yang menyokongnya, malah layak disegani walaupun oleh sesiapa yang menentangnya.
Tanggungjawab baginda terhadap agama dan bangsa telah dibuktikan ketika melantik Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac 2008. Ketika kerajaan Perak jatuh ke bawah kekuasaan pakatan pembangkang, 18 daripada 31 kerusi pembangkang dimiliki oleh DAP yang rata-rata dianggotai kaum Cina.

Tatkala itu, mungkin, adalah lebih mudah dan selesa untuk baginda menerima sahaja calon Menteri Besar daripada kalangan kaum Cina, iaitu Ngeh Koo Ham yang dikemukakan oleh DAP. Oleh kerana DAP menguasai majoriti kerusi milik pembangkang, calon bukan Melayu ini dijaja sebagai ‘pilihan rakyat’. Dengan ini, mungkin juga lebih mudah untuk baginda menghindarkan suasana keruh yang boleh diakibatkan oleh ura-ura ancaman pemboikotan upacara perlantikan Menteri Besar oleh DAP.
Undang-undang tertinggi negara juga tidak pernah menyatakan bahawa Menteri Besar harus dilantik daripada kalangan kaum Bumiputra. Menurut Perlembagaan Persekutuan, Bahagian I Jadual Kelapan, hanya warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 (yang telahpun dimansuhkan) yang tidak boleh dilantik menjadi Menteri Besar:
(3) Walau apa pun apa-apa jua dalam seksyen ini, seseorang yang menjadi warganegara melalui penaturalisasian atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dilantik menjadi Menteri Besar.
Malah, baginda mungkin dianggap sebagai pelopor sekiranya melantik Menteri Besar Perak pertama daripada kalangan bukan Melayu.

Akan tetapi, baginda bukanlah seseorang yang hanya suka memilih jalan yang enak, mudah dan selesa. Baginda tetap berpegang teguh kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak yang menyatakan bahawa syarat seseorang untuk menjadi Menteri Besar ialah berbangsa Melayu, beragama Islam selain merupakan rakyat raja, walaupun baginda boleh menggunakan budi bicara untuk melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar.
Apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, di bawah arahan Lim Kit Siang mengarahkan kesemua ADUN DAP memboikot upacara perlantikan Menteri Besar, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, telah tidak berganjak daripada pendirian dan menitahkan kesemua ADUN dari pakatan pembangkang untuk menulis persetujuan melantik Menteri Besar daripada kalangan ADUN PAS, jika tidak Nizar akan dianggap tidak memiliki majoriti kepercayaan daripada jumlah kesemua ADUN, dan tidak layak dilantik sebagai Menteri Besar.
Lim Kit Siang akhirnya telah tunduk terhadap ketegasan baginda dan memohon maaf di atas kebiadapan beliau.

Mendaulatkan Undang-undang Kuasa untuk ‘tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Dewan Undangan’ merupakan kuasa DYMM Sultan yang bukan sahaja diakui oleh Yang Arif Dato’ Abdul Aziz Abd. Rahim, hakim Mahkamah Tinggi yang membuat penghakiman menyebelahi Nizar, malah peguam Nizar sendiri, Sulaiman Abdullah.

Kuasa ini termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, dan DYMM Sultan Azlan Shah amat memahaminya sebagai seseorang yang pernah mencemar duli untuk berkhidmat sebagai Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
Namun, tatkala baginda menggunakan kuasa ini untuk tidak memperkenankan permintaan Nizar bagi membubarkan Dewan Negeri Perak, ia bukanlah sesuatu yang dilakukan secara semberono, tetapi telah dilaksanakan menerusi penelitian rapi baginda.
Setiausaha Sulit baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor, telah mendedahkan dalam afidavitnya betapa Nizar telah membuat ‘missed call‘ kepadanya pada 4 Februari 2009, untuk memohon dibenarkan menghadap DYMM Sultan. Datuk Abd. Rahim terpaksa menelefon Nizar setelah menerima ‘missed call‘ tersebut, untuk mengetahui niat Nizar, yang memberitahu beliau mahu menghadap DYMM Sultan pada pukul 5 petang hari yang sama.
Bayangkan sekiranya DYMM Sultan tidak memiliki seorang setiausaha sulit, siapakah yang perlu membalas ‘missed call‘ Nizar?

Pada pukul 3.20 petang, Nizar sekali lagi telah menelefon Datuk Abd. Rahim, kali ini untuk meminta agar pertemuan dengan DYMM Sultan dipercepat pula kepada satu masa sebelum pukul 5 petang. Belumpun sempat Datuk Abd. Rahim mengaturkan upacara menghadap itu, Nizar telah terpacul tiba di Istana Kinta, kurang 30 minit selepas menelefon beliau.
Apabila Nizar menghadap DYMM Sultan pada pukul 5.30 petang, Nizar telah menyerahkan surat kepada baginda yang mengandungi permohonan agar Dewan Negeri Perak dibubarkan. Nizar tidak menyatakan, memaklumkan atau mencadangkan bahawa beliau telah kehilangan majoriti kepada DYMM Sultan.

Adakah Nizar tidak tahu langsung mengenai surat daripada tiga ADUN yang mengakui telah hilang kepercayaan terhadap beliau? Atau adakah Nizar hanya berpura-pura? Di hadapan DYMM Sultan? Menurut penghakiman Hakim Mahkamah Rayuan, Yang Arif Datuk Zainun Ali:
If it was not obvious to Nizar, it was patently obvious to His Royal Highness that Nizar had by then lost his majority.

Pada 5 Februari 2009, Nizar sekali lagi menulis surat untuk memohon pembubaran Dewan. Kegopohan Nizar untuk menulis dua surat dalam tempoh kurang 24 jam benar-benar menimbulkan persoalan tentang niat, dan keadaan minda Nizar ketika itu. Datuk Zainun melontarkan persoalan ini di dalam penghakiman beliau:
A similar request made within the next twenty four hours? Does not this indicate Nizar’s state of mind?

Adalah menjadi kelaziman, seseorang ketua negeri akan bertindak mengikut nasihat seseorang Menteri Besar. Namun, DYMM Sultan Azlan Shah, bukanlah sebarang ketua negeri yang akan membiarkan kuasa sebagai seorang Sultan diperkotak-katikkan oleh individu yang berpura-pura, yang menasihatkan sesuatu perkara untuk kepentingan peribadi, dan memiliki minda kurang stabil sehingga tergopoh-gapah menyerahkan dua surat memohon pembubaran Dewan Negeri dalam tempoh kurang 24 jam.
Akan tetapi, setelah Nizar diperintah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, beliau telah bertindak mencabar kesahihan perintah DYMM Sultan. Bagi Nizar, jawatan Menteri Besar hanya boleh dilepaskan setelah tewas dalam undi tidak percaya yang diadakan di dalam Dewan Negeri.
Walau bagaimanapun, sekiranya Nizar berpendapat sebegitu, mengapakah beliau tidak memanggil sidang Dewan dan mengadakan sahaja undi tidak percaya pada 2 Februari, ketika beliau masih memiliki majoriti satu undi?

Mengapa speaker tajaan DAP, V. Sivakumar, hanya bertindak sebegitu pada 6 Februari?
Tatkala kes Stephen Kalong Ningkan v Tun Abang Haji Openg and Tawi Sli [1966] 2 MLJ 187 menjadi pilihan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi untuk mengeluarkan penghakiman yang menyebelahi Nizar, sebenarnya terdapat beberapa perbezaan ketara yang membezakan kes Ningkan dengan kes Nizar.

Yang pertama, Ningkan bukannya enggan meletakkan jawatan seperti Nizar. Yang kedua, bilangan ADUN yang hilang kepercayaan terhadap Ningkan, 21/42, tidaklah mengakibatkan perbezaan matematikal sepertimana 31/59 dalam kes Nizar.
Yang ketiga dan paling ketara, pernyataan hilang kepercayaan terhadap Ningkan dikemukakan dalam bentuk surat yang dilabel ‘Top Secret‘ dan hanya ditandatangani ADUN yang nama mereka disenaraikan. Malah, salah satu nama ADUN tidakpun disertakan dengan tandatangan, akan tetapi hanya cop. Menurut Hakim Mahkamah Rayuan, Yang Arif Raus Sharif, ini menunjukkan niat buruk. ADUN yang menurunkan tandatangan di atas surat ‘Top Secret‘, mungkin tidak mahu berbuat demikian di khalayak ramai.

Dalam kes Nizar, DYMM Sultan telah mencemar duli, menemuramah kesemua 31 ADUN yang menyokong BN. Kemudian, baginda telah menemuramah tiga bekas ADUN pakatan pembangkang, setiap seorangnya secara berasingan, untuk benar-benar menentukan di pihak mana letaknya sokongan mereka.

Tidakkah rakyat jelata Perak, khususnya orang Melayu, fikir bahawa baginda Sultan telah mencemar duli untuk berusaha dan berikhtiar bagi mendaulatkan undang-undang?
Tidakkah rakyat jelata Perak, khususnya orang Melayu, merasakan betapa bertuahnya hidup di bawah naungan pemimpin yang memiliki pendirian sebegitu teguh?
Yang pastinya, tidak semua pemimpin memiliki sifat seperti Duli Yang Maha Mulia, Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan hanya Allah Taala jualah yang mengetahui sama ada bumi Perak akan kekal diterajui pemimpin yang memiliki keutuhan sifat seperti baginda.

by andakjauhar.wordpress.com

No comments:

Post a Comment

Shout in Chatbox